• FAQ
  • Student Discipline

FAQ Student Discipline

Apakah hak-hak pelajar apabila pelajar dikenakan tindakan tatatertib?

  1. Pelajar dibenarkan untuk membuat representasi lisan dalam mana-mana prosiding tatatertib yang diambil terhadapnya.
    [Seksyen 16B (3C) AUKU 1971]
  2. Pelajar dibenarkan untuk membuat representasi bertulis dalam mana-mana prosiding tatatertib yang diambil terhadapnya.
    [Seksyen 16B (3C) AUKU 1971]
  3. Pelajar mempunyai hak untuk diwakili oleh seseorang pekerja atau pelajar lain Universiti itu dalam mana-mana prosiding tatatertib yang diambil terhadapnya.
    [Seksyen 16B (3B) AUKU 1971]

Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya pelajar tidak hadir dalam perbicaraan tatatertib pelajar?

Pelajar akan digantung serta-merta dan tidak boleh berada didalam atau memasuki kampus. Pergantungan itu akan berterusan sehingga pelajar hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar
[Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar), 1999]

Apakah hukuman yang akan dikenakan kepada pelajar yang melakukan kesalahan tatatertib?

Mengikut Kaedah 48 Kaedah-Kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, pelajar yang didapati bersalah melakukan suatu kesalahan tatatertib boleh dikenakan mana-mana satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai sepertimana berikut :
  1. Amaran
  2. Denda tidak melebihi RM200.00
  3. Dilarang daripada mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian tertentu Universiti bagi tempoh yang ditetapkan
  4. Digantung daripada menjadi seorang pelajar Universiti bagi tempoh yang ditetapkan; atau
  5. Dipecat daripada Universiti

Berapa lamakah tempoh untuk penjelasan bayaran denda?

Sekiranya pelajar dihukum denda oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar, tempoh penjelasan bayaran denda itu hendaklah dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tatatertib tersebut.
[Kaedah 64 Kaedah-Kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar), 1999]

Apakah kesannya jika pelajar tidak membayar denda dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar?

Jika pelajar tidak membayar denda dalam tempoh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar, pelajar hendaklah dengan serta-merta digantung daripada menjadi pelajar Universiti dan tidak boleh selepas itu berada di dalam atau memasuki Kampus; penggantungan itu hendaklah berterusan sehingga denda itu dibayar.
[Kaedah 63 (1) dan Kaedah 63 (2) Kaedah-Kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar), 1999]

Bolehkah pelajar merayu terhadap hukuman tatatertib yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar (Kes-Kes Akademik/Kes-Kes Am)?

Ya, boleh. Pelajar boleh merayu dalam tempoh 14 hari dari tarikh perbicaraan keputusan tatatertib yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar (Kes-Kes Akademik/Kes-Kes Am).
[Seksyen 16B (3C) AUKU 1971]

Siapakah yang akan memutuskan rayuan pelajar?

Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan oleh pelajar.
[Seksyen 16B (5) AUKU 1971]

Apakah hak pelajar di dalam prosiding rayuan tatatertib pelajar?

Pelajar hendaklah mempunyai hak membuat representasi bertulis dalam prosiding rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan tatatertib Pelajar.
[Seksyen 16B (10) AUKU 1971]

Bilakah Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar membuat keputusan rayuan?

Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar membuat keputusan rayuan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh penerimaan rayuan pelajar .
[Seksyen 16B (11) AUKU 1971]

Bilakah pelajar boleh menerima keputusan rayuan?

Pelajar boleh menerima keputusan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar.
[Seksyen 16B (12) AUKU 1971]

Print